ANTARA PATI yang diperiksa pada Ops Mega 3.0 hari ini. FOTO NSTP
ANTARA PATI yang diperiksa pada Ops Mega 3.0 hari ini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 329 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Mega 3.0 yang dijalankan di sekitar ibu kota, hari ini.

Operasi bermula pada jam 2 petang itu memeriksa 1,672 warga asing di Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Lebuh Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Seni.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi dijalankan berikutan penamatan program Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring pada tengah malam tadi.

“JIM akan menjalankan menjalankan gerak gempur operasi secara menyeluruh bagi memburu PATI dan majikan yang masih berdegil untuk mengambil pekerja yang sah.

“Langkah tegas ini perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini,” katanya pada sidang media selepas tamat Ops Mega 3.0 di Lebuh Pudu di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafar berkata, sejak 1 Januari sehingga semalam, JIM sudah menahan 19,969 PATI pelbagai warganegara di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu , JIM juga turut mengenakan tindakan undang-undang terhadap 536 majikan yang menggaji PATI.

“Sehingga semalam kami sudah mendakwa 9,854 PATI, manakala selebihnya akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan warga Indonesia adalah tangkapan yang paling tinggi iaitu seramai 6871 individu.

“Ia diikuti warga Bangladesh seramai 3935, Filipina (2011) dan Myanmar (1990).

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan majikan dan pekerja mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:55 PM