Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya mencekup 'Abang Is', dalang utama yang dipercayai terbabit memperdaya lebih 1,000 warga asing bagi mendapatkan permit menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) sejak empat bulan lalu.

Difahamkan, suspek berusia 35 tahun itu adalah penaja kehormat bagi Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek utama itu antara dua lelaki tempatan dan empat warga asing yang berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan pada Ahad dan kelmarin, masing-masing di Kajang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek menjalankan aktiviti penipuan itu menerusi sebuah syarikat pelancongan berdaftar.

“Bagaimanapun, kami dapati syarikat berkenaan sudah disenarai hitam dan mereka juga tidak dibenarkan mengendalikan pendaftaran pekerja asing menerusi Program Rehiring.

“Suspek sudah lama terbabit dalam aktiviti penipuan itu dipercayai sebelum Program Rehiring lagi," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, hasil serbuan turut menemui 270 pasport warga asing, pelbagai dokumen dan resit pembayaran transaksi selain merampas dua kenderaan.

Mustafar berkata, suspek turut mengaut keuntungan atas angin lebih RM2.2 juta apabila memperdaya lebih 270 warga asing termasuk dari Bangladesh; India; Pakistan dan Indonesia susulan penemuan pasport milik warga asing itu di dua lokasi berkenaan.

MUSTAFAR menunjukkan pasport yang dirampas daripada suspek. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUSTAFAR menunjukkan pasport yang dirampas daripada suspek. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Menurutnya, suspek mengenakan bayaran antara RM5,800 hingga RM8,000 bagi setiap warga asing bagi tujuan mendapatkan pekerjaan menerusi Program Rehiring.

"Kami jangka ribuan mangsa sudah tertipu dengan syarikat ini dan mahu mereka tampil ke hadapan bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan," katanya.

Katanya, suspek utama ditahan mengikut Akta Pasport manakala, suspek warga asing lain ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Ahad lalu, sekumpulan 50 warga Bangladesh membuat laporan polis dan sidang media kerana ditipu sebuah syarikat kononnya bagi memudahkan urusan proses Program Rehiring.

Mangsa mendakwa mereka terpaksa membayar ribuan ringgit bagi proses itu selain turut menyerahkan pasport masing-masing.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

"Ada pihak minta kami slow down (memperlahankan) operasi dan kami ingin tegaskan, operasi akan tetap dilakukan kerana ia satu amanah yang perlu dilakukan bagi memerdekakan negara daripada PATI.

"Kita perlukan pekerja asing dan pada masa sama, tidak mahu negara terus dibanjiri PATI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 2:44 PM