Antara PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Borong Selangor hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Antara PATI yang ditahan dalam operasi di Pasar Borong Selangor hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 270 majikan dan 12,492 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil operasi dilaksanakan bermula 1 Januari hingga semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu dilakukan hasil 3,844 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Tangkapan tertinggi membabitkan warga Indonesia iaitu 4,351 individu diikuti 3,002 warga Bangladesh, 1,191 Myanmar dan 1,138 Filipina.

“Selebihnya adalah dari negara lain dan mereka ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Hasil operasi itu 270 majikan warga tempatan turut ditahan selepas didapati menggajikan warga asing tanpa permit,” katanya pada sidang media Operasi Bersepadu JIM di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sentiasa komited untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan dan menangkap PATI serta warga asing yang menyalahgunakan pas.

Katanya, tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada majikan yang menggajikan atau melindungi PATI.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha mengesan majikan yang didapati menyewakan premis atau lot perniagaan kepada warga asing seterusnya mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Kita akan mengambil segala langkah dan tindakan tegas untuk menangani isu berkaitan PATI dan warga asing.

“Kami tidak berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 3:28 PM