MUHAMMAD Jefri  mengangkat Roszanika yang terbatas pergerakannya disebabkan penyakit skoliosis.
MUHAMMAD Jefri mengangkat Roszanika yang terbatas pergerakannya disebabkan penyakit skoliosis.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Saya terharu ada juga orang hendak tolong dan ambil peduli dengan nasib saya serta suami,” demikian kata pesakit skoliosis, Roszanika Abdul Karim, 39.

Roszanika menderita penyakit itu sejak dilahirkan yang mengakibatkan saban hari tulang belakangnya membengkok.

Masalah kesihatan itu turut menyebabkan kudrat Roszanika terbatas dan dia lebih selesa mengiring sepanjang masa bagi mengelakkan daripada mengalami kesakitan.

Wanita itu kini bergantung sepenuhnya kepada suami, Muhammad Jefri Abdullah, 43, sejak mereka berkahwin 10 tahun lalu.

Malang menimpa pasangan itu selepas Muhammad Jefri dibuang kerja 2 Ogos lalu kerana kerap meminta pelepasan dan cuti daripada majikannya bagi menguruskan keperluan Roszanika.

Kisah cinta sejati pasangan ini yang dikongsi Harian Metro semalam, menarik perhatian ramai yang mendoakan kebahagiaan mereka, tidak kurang pula yang menghulurkan bantuan.

Roszanika berkata, dia tidak menyangka selepas kisah mereka disiarkan ramai yang menghulurkan sumbangan.

“Tiada apa lagi yang mampu saya ucapkan. Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang sudi menyumbang.

“Wang sumbangan orang ramai itu akan digunakan untuk beli keperluan saya seperti lampin pakai buang, sementara menunggu suami mendapat kerja baru,” katanya.

Sementara itu Muhammad Jefri berkata, setakat ini dia sudah bertanyakan mengenai peluang pekerjaan di beberapa premis berhampiran bilik sewa mereka di Pandan Indah di sini, namun belum menerima maklum balas daripada mana-mana majikan.

“Sekarang ini saya sanggup buat apa saja kerja, asalkan halal dan lokasinya tak jauh dari bilik sewa kami.

“Saya perlu kerap menjenguk isteri kerana dia turut menghidap masalah jantung, selain asma dan kerap mengalami sawan.

“Harap ada majikan sudi mengambil saya bekerja dan memahami keadaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 11:47 AM