FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Murnaena Muhammad Nasir


"KAMI hanya ada wang simpanan RM200 sahaja untuk menampung kos kelahiran anak pertama dijadualkan bakal lahir Ogos ini di Hospital Selayang," kata Fetty Zuramaslina Zulkepli, 33, yang hilang sumber pendapatan selepas dibuang kerja.

Menurutnya, dia dan suami, Muhd Hafeez Jamal, 34, berharap orang ramai sudi meringankan beban ditanggung dalam bentuk wang atau keperluan bayi seperti lampin atau baju.

"Kami hilang punca pendapatan sejak April lalu susulan kesan penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Fetty yang sarat mengandung tujuh bulan itu berkata, dia baru sahaja menerima surat pemberhentian perkhidmatan daripada majikannya minggu lalu.

"Anak pertama saya bakal lahir pada bulan Ogos nanti. Simpanan kewangan saya dan suami semakin susut kerana sejak dua bulan lalu saya diberikan cuti tanpa gaji.

"Suami juga tidak dapat mencari rezeki dengan bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin berikutan sekatan sekatan pergerakan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dalam waktu sukar ini, perniagaan diusahakan suaminya itu kurang mendapat sambutan.

"Tidak ramai pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan menyelenggara penghawa dingin daripadanya/

"Saya bersyukur kerana mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM500, namun wang itu tidak cukup menanggung kos keperluan bayi kelak.

"Setakat ini, Alhamdulillah rakan-rakan dan jiran sudi membantu memberikan baju bayi terpakai, makanan dan menghulurkan sedikit sumbangan," katanya.

Menurutnya, dia juga bersyukur apabila pemilik rumah memahami keadaan dialami dengan memberikan diskaun sewaan rumah sebanyak 50 peratus untuk tiga bulan lalu.

"Namun bermula Jun ini, kami perlu membayar sewa seperti biasa iaitu sebanyak RM850 sebulan.

"Besar harapan saya jika pihak sudi menghulurkan sumbangan demi membantu keperluan anak kami yang bakal lahir nanti," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Fetty Zuramaslina Zulkepli bernombor 156057349520 atau serahan barangan sumbangan bayi di alamat No. 301, Apt Seroja, Jalan 3/9A Bandar Baru Selayang,Batu Caves, Selangor selain menghubungi talian 01162069620.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 8:29 PM