IBU tunggal, Norsuraya Kamarudin, 32, sedang mengemaskan barangan miliknya untuk untuk berpindah ke bilik sewa ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya di Flat Sri Paroi, Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
IBU tunggal, Norsuraya Kamarudin, 32, sedang mengemaskan barangan miliknya untuk untuk berpindah ke bilik sewa ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya di Flat Sri Paroi, Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


IBU tunggal yang hidup merempat dan merayu untuk mendapatkan rumah kini boleh menarik nafas lega apabila sudah mendapat rumah sewa hasil bantuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd Ghazali Abdul Wahid.

Siti Norsuraya Kamarudin, 32, mula menyewa di pangsapuri Casuarina, Paroi di Seremban, hari ini, dengan kadar sewa RM220 sebulan manakala wang pendahuluan sewa berjumlah RM500 itu ditanggung oleh Mohd Ghazali.

Menurutnya, dia lega dan bersyukur apabila ada pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah dihadapinya sebelum ini.

“Alhamdulillah, selepas kisah saya disiarkan di Harian Metro, ramai yang bersimpati dan menghulurkan bantuan. Saya berterima kasih kepada mereka dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang membantu.

“Saya juga terharu dengan kebaikan keluarga yang menumpangkan saya di rumah mereka sejak dua minggu lalu. Jasa mereka sekeluarga amat besar maknanya kepada saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Norsuraya berkata, selepas ini dia akan mencari pekerjaan bersesuaian bagi membolehkan dia membayar sewa dan menampung keperluan hariannya.

Katanya, masalah kesihatan yang dihadapi akibat kemalangan kira-kira 15 tahun lalu menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan sesuai selain perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di Seremban.

“Mungkin orang melihat saya sihat tetapi saya tidak boleh melakukan kerja berat kerana kecederaan di kepala akibat kemalangan.

“Segelintir netizen di laman sosial marah selepas kisah saya disiarkan dan menuduh saya tidak mahu berusaha serta mengharapkan bantuan, tetapi ia tidak betul. Namun, saya tidak salahkan mereka dan memaafkannya,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan, Norsuraya yang hidup merempat dan menumpang rumah orang lain merayu untuk mendapatkan rumah dan pekerjaan tetap demi membesarkan tiga anaknya.

Dia mengakui terpaksa berpindah-randah sejak dua tahun lalu kerana tidak berkemampuan dan tiga anaknya yang berusia antara empat hingga 10 tahun dijaga bekas suami di Seremban.

Berita berkaitan

'Bukan meminta, cuma...'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:26 PM