Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang ibu tunggal yang menghidap Talasemia memohon bantuan untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, bagi memudahkannya menyara tiga anak yang masih bersekolah.

Maznah Mohd Yusof, 36 dia menjalani pemeriksaan pada 2016 selepas kerap pengsan secara tiba-tiba dan

doktor dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkannya mengidap penyakit itu.

"Selepas berpisah dengan suami pada 2015, saya menyara anak-anak dan duduk di rumah keluarga dengan di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee di sini.

"Sejak berpisah, saya buat macam-macam kerja dari kerani, kerja kilang dan terakhir saya ambil upah jaga kedai serbaneka dengan upah RM300 sebulan.

"Saya bukan tidak mahu kerja tetap, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya akan menyusahkan rakan sekerja yang lain kerana kerap ambil cuti, "katanya ketika ditemui dalam lawatan Pasaraya Econsave Cash and Carry bersama Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di sini, hari ini.

Menurut Maznah, keadaan semakin teruk apabila keluarganya mempunyai masalah dalaman, sehingga memaksanya berpindah di Benut pada 30 Jun lalu.

Katanya di Benut rumah sewa murah RM400 sebulan tetapi tiada peluang pekerjaan.

"Mak banyak membantu saya, duit harian sekolah anak-anak Nurhuda Aliya Mohd Farhan, 14 Nurfitriana Anisa, 13 dan Muhammad Akid Muizz, 11 juga mak yang beri.

"Sebenarnya sudah seminggu saya berusaha mencari kerja di pasar raya, di kedai-kedai tetapi mereka kata tiada kerja kosong setakat ini. Saya tiada simpanan, bagaimana mahu bayar sewa rumah.

"Saya mahu berpindah ke Johor Bahru, dan memohon rumah PPR, saya mahu mulakan hidup baru dengan anak-anak, "katanya yang menerima bantuan Baitulmal RM300 sebulan.

Pegawai Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak berkata pihaknya akan usahakan permohonan penempatan PPR dengan bantuan Setiausaha Kerajaan Johor (SUK) Perumahan.

"Keluarga ini dapat bantuan baitulmal RM300 sebulan, selama dua tahun akan disambung semula. Kita akan usahakan secepat mungkin dan surat akan dibawa ke SUK untuk permohonan PPR bagi keluarga ini termasuk ibunya, "katanya.

Dalam pada itu Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam memaklumkan pihaknya menghulurkan bantuan keperluan barangan dapur berjumlah RM500.

Masyarakat boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun 0110 0290 0083 5004 (Bank Simpanan Nasional).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:17 PM
Maznah (kiri) menunjukkan kad rawatan Talaesmia kepada anak-anaknya. FOTO OMAR AHMAD
Maznah (kiri) menunjukkan kad rawatan Talaesmia kepada anak-anaknya. FOTO OMAR AHMAD