ANGGOTA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dalam operasi di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dalam operasi di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nor Azizah Mokhtar


EMPAT individu termasuk seorang remaja lelaki bawah umur ditahan dalam Op Tutup dan Op Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) kerana memandu dan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, tiga daripada mereka ditahan dalam operasi di Jalan Raja Laut, manakala remaja berusia 14 tahun dicekup di Lebuhraya DUKE bermula jam 1 pagi.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 14 hingga 44 tahun dan dua daripadanya adalah pemandu kereta manakala dua lagi adalah penunggang motosikal termasuk remaja lelaki itu.

“Pemeriksaan mendapati remaja terbabit bukan saja menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, malah belum layak untuk memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di Jalan Raja Laut, hari ini.

Katanya, keempat-empat mereka disiasat tindakan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengendalikan kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

Dalam pada itu, seramai tujuh penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 22 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya dengan gaya ala ‘Superman’ serta berlumba.

“Kita turut menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Selain itu, kita turut menyita lima motosikal dan 37 kereta yang diubah suai tanpa mengikut spesifikasi dibenarkan termasuk memasang ekzos yang mengeluarkan bunyi bising,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 186 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan cukai jalan tamat tempoh serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Sebanyak 235 motosikal dan 180 kereta diperiksa dalam kedua-dua operasi yang berakhir pada jam 5.30 pagi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 9:07 PM