GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sembilan penunggang motosikal yang mempamerkan aksi berbahaya termasuk lagak 'superman' dan zig-zag mengundang padah apabila ditahan polis di beberapa lokasi awal pagi tadi.

Mereka ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Op Bersepadu, Op Samseng Jalanan, Op Had Laju, Op Motosikal/ Pelbagai Kesalahan dan Op Mabuk yang dijalankan bermula Jumaat lalu.

Dalam operasi sama, polis turut menahan 12 pemandu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, operasi dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

"Sembilan penunggang yang melakukan aksi berbahaya berusia 14 hingga 21 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Sementara 12 pemandu kenderaan yang memandu di bawah pengaruh alkohol berusia 23 hingga 59 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan dituduh mengikut seksyen sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 11:30 AM