ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Telok Menara, Manir, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Telok Menara, Manir, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


WANG RM5,000 untuk disimpan dalam akaun Tabung Haji milik seorang imam hangus selepas rumahnya di Kampung Teluk Menara, Manir, Kuala Terengganu, terbakar, hari ini.

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan Muda Mat Ali, 68, tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan, pakaian dan dokumen peribadi musnah menyebabkannya kerugian hampir RM200,000.

Menurut Muda, ketika kejadian dia berada di masjid di kampung berkenaan kerana menunaikan solat Zuhur.

“Selesai memberi salam, ada orang memberitahu rumah saya terbakar lalu terus pulang.

“Sebaik sampai di rumah, saya melihat sebuah jentera bomba sedang memadamkan api yang ketika itu sudah memusnahkan keseluruhan tingkat atas yang dibina menggunakan kayu cengal pada 1968,” katanya.

Muda berkata, wang berkenaan dikumpul hasil pemberian anak-anak menyebabkannya reda dengan apa berlaku.

“Sudah ditakdirkan ia bukan rezeki saya, ini semua kerja Allah, jadi kita kena reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, isterinya Zaharah Taib, 66, berkata sebaik menyedari rumahnya terbakar, dia dan anak lelakinya, Hasrom, 31, yang tidur di tingkat bawah segera keluar menyelamatkan diri.

“Ketika keluar, saya sempat mencapai beg tangan mengandungi wang tunai RM5,000 yang mahu disimpan dalam akaun Tabung Haji dan beberapa barang kemas.

“Ini sahaja yang dapat diselamatkan manakala barang yang lain-lain semuanya terbakar,” katanya.

Selain pelbagai barangan elektrik, pakaian dan perabut, sebuah kereta Proton Satria juga musnah.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.34 tengah hari sebelum dua jentera bersama 20 anggota dari BBP Kuala Terengganu dan Jalan Kota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, ketika di tiba lokasi pihaknya mendapati api sudah marak membakar tingkat atas rumah yang diperbuat daripada kayu.

“Kami mengambil masa selama 20 minit bagi memadamkan kebakaran dan terpaksa menggunakan sambungan hos sejauh 500 meter bagi mendapatkan punca air daripada pili bomba,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 7:02 PM