Zaid Salim


Marang: Tujuh beranak termasuk bayi berusia 11 hari hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka di Kampung Simpang Rawai, Bukit Payung, di sini, musnah dalam kebakaran akibat dipanah petir.

Kejadian jam 6.30 petang itu menyebabkan keluarga terbabit mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila pelbagai barangan termasuk wang tunai sebanyak RM5,000 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM30,000 hangus.

Mangsa, Ahmad Khairul Hafizi Kamaruddin, 27, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, anak, ibu mentua dan ipar sedang berada di ruang tamu rumah.

"Saya dan isteri sedang dodoikan bayi berusia 11 hari sambil menonton televisyen bersama ibu mentua dan ipar. Kami dikejutkan dengan guruh kuat menyebabkan bekalan elektrik rumah kami terputus.

"Tidak lama kemudian kami dengar suara jiran yang memberitahu tingkat atas rumah terbakar sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri.

"Ketika itu hujan sangat lebat dan saya bersama ipar hanya sempat mengalihkan kenderaan dan mengeluarkan beberapa barangan seperti mesin basuh dan gas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, walaupun ketika kejadian hujan lebat tetapi api cepat merebak.

Sementara itu, Ketua Balai Bonba dan Penyelamat Wakaf Tapai, PPgB Khairul Azmi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 6.40 petang.

Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam keadaan hujan dan ribut. FOTO Zaid Salim
Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam keadaan hujan dan ribut. FOTO Zaid Salim

Katanya, sebanyak empat jentera bomba dari BBP Wakaf Tapai, Marang dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan anggota seramai 23 orang termasuk bantuan daripada pasukan Sukarelawan Bomba Seri Payung seramai tujuh orang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar tingkat atas bahagian rumah berkenaan dan kerja pemadaman dilakukan dalam keadaan hujan dan ribut," katanya.

Katanya, siasatan awal kebakaran dikatakan berpunca disebabkan petir.

Bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

"Anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 1:06 AM