DR Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. Turut kelihatan Abu Kassim (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. Turut kelihatan Abu Kassim (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Azura Abas; Manirajan Ramasamy; Irwan Shafrizan Ismail dan Nadia Hamid


KERJAAN akan menggubal dan membentangkan undang-undang baharu berkaitan akta dana politik di Parlimen sebagai sebahagian usaha membanteras rasuah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membanteras pemberian wang atau dana daripada ahli atau penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan.

Beliau berkata, jawatankuasa yang diketuai Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) akan dibentuk untuk melakukan kajian dan mengemukakan draf akta pembiayaan politik berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Parti politik perlukan wang, pilihan raya perlukan wang dan sumber wang itu datang daripada ahli dan penyokong tetapi bila anda beri hak, mereka mungkin beri duit dengan harapan mereka akan mendapat balasannya. Sumbangan itu adalah korupsi dan sukar untuk mengesahkannya.

“Kita sedang melihat amalan pemberian dana politik di negara lain, sesetengah negara lain, kerajaan yang memberi dana dan ini menjadi amalan di Jerman.

“Di Amerika Syarikat (AS) mereka mempunyi sistem lobi yang mana duit dibayar kepada orang tertentu, ini adalah rasuah dan di Malaysia kita tidak akan benarkan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan Mohamad Sabu; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong; Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beberapa undang-undang tertentu akan diperkenalkan bagi menangani masalah rasuah secara khusus.

“Kita dapati bahawa dalam pentadbiran kerajaan dahulu beberapa kes rasuah jelas berlaku.

“Tindakan yang diambil pegawai juga salah, apabila laporan yang dibuat tidak menunjukkan sebarang salah laku oleh Perdana Menteri ketika itu tapi jika tidak ada salah laku kenapa laporan perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)

“Kebiasaannya anda tidak boleh menyembunyikan laporan seperti itu, apatah lagi laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), jadi masyarakat awam perlu tahu, tapi ia disembunyikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:18 PM