DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) hari ini bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti politik.

"Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

"RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan JKKMAR, hari ini.

Selain itu, katanya, mesyuarat sama turut membentangkan satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus (governance) yang baik dikenali sebagai Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi Kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan akan diperkenalkan.

"MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun.

"Pelan berkenaan adalah berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan. Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini.

"Selaras dengan pembangunan ini, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI)," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) membabitkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

Katanya, mesyuarat turut bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.

"Keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil Kerajaan.

"Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar ini.

"Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes jenayah khususnya jenayah kewangan," katanya.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju supaya pengasingan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara dilakukan tetapi memerlukan kajian lebih mendalam kerana ia membabitkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.

"Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:33 PM