TAN Sri Abu Kassim Mohamed (gambar arkib). FOTO NSTP
TAN Sri Abu Kassim Mohamed (gambar arkib). FOTO NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin komited dalam usaha pencegahan rasuah dan melaksanakan melaksanakan urus tadbir baik.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri kepadanya apabila beliau bertanya mengenai untuk meneruskan reformasi politik di negara ini.

"Saya tanya soalan sama kepada Perdana Menteri, dan beliau berikan jawapan yang jelas, 'Abu, ya saya (Muhyiddin) mempercayainya dan saya mahu terus menentang rasuah'.

"Pun begitu, melawan rasuah di negara ini bukan hanya tanggungjawab Perdana Menteri semata-mata.

"Anggota Kabinet juga perlu terbabit dalam perkara ini dan sektor swasta, sektor awam, semua sektor dalam masyarakat perlu bersama-sama dalam usaha ini.

"Saya berpendapat, jika kita mahu melihat perubahan yang besar, saya berharap, saya percaya kepada kepemimpinan ketika ini... Saya berharap keseluruhan anggota Kabinet akan bekerjasama dengan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk Sekuat mana hubungan antara Kerajaan dan Syarikat Besar? Pada Forum Anti Rasuah Malaysia ke-dua di sini, hari ini.

Selain Abu Kasim, Pengerusi Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) Haridas S Krishnan Nair dan Ketua Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Zakiah Hassan turut menjadi panel.

Abu Kassim berkata, ketika diminta menerajui GIACC ketika pentadbiran sebelum ini, beliau yakin bahawa jika negara ini mahu menjalani reformasi, perlu ada reformasi politik.

Beliau berkata, untuk itu, beberapa inisiatif diperkenalkan termasuk semua pemimpin politik dalam kerajaan mengisytiharkan aset mereka selain menggubal undang-undang membabitkan dana politik.

Pada masa sama, katanya, kerajaan terdahulu juga mengamalkan tiada ahli politik aktif dilantik menerajui mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP).

"Saya maklumkan pendapat ini kepada Perdana Menteri, bahawa sesiapa yang dilantik menerajui GLC perlulah seorang profesional dan berintegriti, antara elemen yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 4:03 PM