Mohd Shafie. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shafie. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


POLITIK Sabah bergantung dengan situasi politik di peringkat Persekutuan susulan pensejajaran semula kerajaan yang tercetus ketika ini.

Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, situasi di Sabah banyak bergantung kepada perkembangan semasa di Putrajaya.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terbaru, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan sokongan Parti Warisan Sabah (WARISAN) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, situasi terkini dikhabarkan, ada rundingan antara Muafakat Nasional (UMNO dan PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), WARISAN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

“Saya percaya ini akan diikuti oleh Gabungan Bersatu Sabah (GBS) membabitkan Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanahairku (masing-masing memiliki satu kerusi Parlimen).

“Sekiranya ini benar, secara statistiknya mereka sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai pentadbiran kerajaan negeri, Kuok Tiung berkata, langkah BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) ketika ini bakal mengubah komposisi dan struktur barisan Kabinet Sabah.

Katanya, memandangkan kerajaan Sabah dibentuk daripada kerjasama WARISAN, PH dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), ia pastinya mengubah komposisi barisan Kabinet di Sabah.

“Meskipun ketika ini BERSATU tiada dalam barisan Kabinet negeri, saya percaya akan ada juga rombakan untuk memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU ke dalam barisan Kabinet.

“Tidak mustahil sekiranya Dr Mahathir berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan baharu dan dan akan memanggil Shafie memikul peranan menteri kanan, manakala jawatan Ketua Menteri diberikan kepada BERSATU,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 1:51 PM