Wilfred Madius Tangau berjabat tangan dengan Ewon Benedick selepas persetujuan peralihan kepimpinan tertinggi parti itu kepada Ewon. FOTO JOHARY INDAN
Wilfred Madius Tangau berjabat tangan dengan Ewon Benedick selepas persetujuan peralihan kepimpinan tertinggi parti itu kepada Ewon. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Kota Kinabalu: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau secara rasmi akan menyerahkan kepemimpinan tertinggi parti itu kepada Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick, Ahad ini.

Penyerahan jawatan presiden kepada Ewon itu akan dibuat pada Konvensyen Upko yang dijadualkan Ahad ini (15 Januari) di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Timbalan Setiausaha Agung Upko, Fairuz Bandar berkata, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran mengambil keputusan itu selepas mengambil kira kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) serta kegagalan Upko yang hanya menang satu daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandingi.

"Tindakan yang diambil Madius itu sekali lagi menunjukkan kematangan politik dengan melakukan proses peralihan kepimpinan melalui perundingan demi mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Kekalahan Madius dalam PRN-16 dan kegagalan Upko menawan 11 daripada 12 kerusi ditandingi antara faktor utama beliau melepaskan jawatan tertinggi parti itu kepada Ewon," katanya, di sini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan kelebihan 14,410 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Operasi dalam Kerajaan Perpaduan persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:12 AM