Sharifah Mahsinah Abdullah & Ramli Ibrahim


PERAIH getah yang berkahwin dengan budak 11 tahun dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain mengenakan hukuman terhadap lelaki itu sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu.

Peraih getah berusia 41 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan yang masing-masing boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Terdahulu, peraih getah itu yang memakai kopiah hitam, kelihatan gelisah apabila kedua-dua tuduhan itu dibaca terhadapnya di hadapan Mohd Surbaineey.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa berkahwin tanpa kebenaran mengikut Seksyen 19 Enakmen berkenaan dan dihukum denda berjumlah RM900.

Bagi tuduhan kedua pula, Che Mohd Karim didakwa kerana berpoligami tanpa kebenaran mengikut Seksyen 124 enakmen yang sama dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM900.

Dia membayar denda yang dikenakan terhadapnya itu.

Sementara itu, dalam rayuannya, lelaki itu memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda terhadapnya dan merayu supaya dia tidak dipenjarakan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Negeri Kelantan, Nor Azizi Abdul Rahman, manakala tertuduh yang hanya ditemani seorang saudara lelaki, tidak diwakili peguam.

Peraih getah itu mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan budak 11 tahun berasal dari Thailand pada 18 Jun lalu.

Pasangan itu dinikahkan di masjid Sungai Golok, Thailand.

Berita berkaitan:

Pengantin cilik pulang ke Thailand

Pasangan kontroversi dapat sijil nikah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 3:05 PM