FOTO pernikahan pasangan itu yang tular.
FOTO pernikahan pasangan itu yang tular.
Sharifah Mahsinah Abdullah

KANAK-KANAK berusia 11 tahun yang menjadi isteri peraih getah di Kelantan, kini berada di bawah jagaan Kementerian Sosial Thailand selama tiga bulan.

Peraih getah berusia 41 tahun itu, berkata perkara itu dimaklumkan oleh ibu mentuanya melalui perbualan telefon, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan isteri muda saya itu sekarang berada di dalam jagaan kementerian berkenaan untuk tempoh percubaan selama tiga bulan bermula bulan lalu.

“Apa saja perkembangan selepas ini akan dimaklumkan kepada saya kemudian. Tetapi saya juga dimaklumkan ada cadangan untuk menghantar isteri saya kembali ke sekolah," katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurut peraih getah itu, dia menerima apa saja keputusan yang dibuat demi kebaikan isteri ketiganya itu.

“Walaupun saya sudah lama tidak berjumpa dengannya, perasaan rindu ini sentiasa ada. Saya hanya mampu berdoa agar dia selamat dan sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Isu perkahwinan peraih getah bersama pasangan yang 30 tahun lebih muda daripadanya itu menimbulkan kontroversi apabila isteri kedua lelaki itu memuat naik gambar perkahwinan mereka di Facebook miliknya, Jun lalu.

Pasangan itu berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor dekat Mundok, Thailand pada 18 Jun lalu.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan negeri Selangor menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, peraih getah itu berkata, ia terpulang kepada negeri berkenaan.

“Saya sokong jika Selangor mengambil keputusan demikian untuk kebaikan rakyat negeri itu. Saya tidak dapat menghalang jika Kerajaan Kelantan ingin ikut jejak yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:24 PM