HASHIM menunjukkan gambar pasangan seperti tersebar di media sosial pada 1 Julai lalu. FOTO arkib NSTP.
HASHIM menunjukkan gambar pasangan seperti tersebar di media sosial pada 1 Julai lalu. FOTO arkib NSTP.
Sharifah Mahsinah Abdullah


PERAIH getah dan isterinya berusia 11 tahun masih belum mengambil sijil perkahwinan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN).

Kadi yang mengahwinkan pasangan itu, Hashim Yusof berkata, salinan sijil sudah dikeluarkan MAIN sejak sebulan lalu.

Katanya, beliau percaya pasangan itu tidak tergesa-gesa menuntut sijil berkenaan mungkin kerana tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian ketika ini.

“Salinan sijil perkahwinan mereka masih berada dalam simpanan saya. Seperti yang saya jelaskan kepada mereka, sijil ini hanya berguna kepada mereka jika ditakdirkan pasangan perempuan itu melahirkan anak.

“Selagi mereka belum mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia segala urusan ketika melahirkan anak perlu dibuat di sini kerana perempuan itu warga Thailand.

“Sijil yang dikeluarkan pada 21 Jun lalu itu berguna dalam urusan itu. Itupun jika perempuan itu melahirkan anak. Jika dia belum ingin melahirkan anak, sijil itu boleh kekal dengan saya,” katanya yang juga Penolong Pendaftar di MAIN ketika dihubungi NSTP hari ini.

Isu perkahwinan peraih getah berusia 41 tahun bersama pasangannya itu mendapat liputan meluas media selepas mereka berkahwin di sebuah masjid di Padang Nyor, Sungai Golok, Thailand, pada 18 Jun lalu.

Berikutan itu, Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada bulan lalu mengenakan hukuman denda RM1,800 atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran terhadap peraih getah itu.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain mengenakan hukuman RM900 bagi setiap pertuduhan selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan yang masing-masing boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Sementara itu, peraih getah itu ketika dihubungi berkata, setakat ini dia tidak berhajat mengambil sijil perkahwinannya itu.

“Saya hanya akan mengambil sijil itu apabila tiba masanya nanti.

“Mana mungkin isteri ketiga saya itu melahirkan anak kerana sehingga kini kami belum lagi bersama. Saya hanya akan bersama isteri saya selepas usianya 16 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:49 PM