Ramli Ibrahim


KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun yang berkahwin dengan seorang peraih getah, enggan tinggal di pondok pengajian agama sama ada di Thailand atau Kelantan kerana tidak mahu berpisah dengan suaminya.

Dia sebaliknya mahu terus tinggal bersama ibu bapanya di sebuah kampung di Gua Musang, sambil meneruskan pengajian al-Quran di sini, sehingga usianya 16 tahun.

Ibu kanak-kanak itu yang berusia 47 tahun berkata, dia sudah beberapa kali memujuk anaknya supaya tinggal di pondok pengajian agama.

“Tapi dia menolaknya kerana lebih selesa dan berminat menerus pengajian al-Quran di kampung ini.

“Suaminya turut menasihati supaya tinggal di sekolah pondok sama ada di Thailand atau di mana-mana saja di Kelantan sehingga umur 16 tahun.

“Dia menolak dengan alasan ingin mengaji al-Quran dahulu dan tinggal bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Pernikahan kanak-kanak perempuan 11 tahun warga Thailand itu dengan peraih getah berusia 41 tahun, di sebuah masjid dekat Sungai Golok, Selatan Thailand pada 18 Jun lalu, menjadi tular kerana membabitkan pernikahan bawah umur.

Berikutan itu, peraih getah terbabit didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan baru-baru ini.

Peraih getah itu dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Ibu kanak-kanak itu menyifatkan isu pernikahan anaknya itu sudah selesai apabila mereka dalam proses mendapatkan sijil nikah yang sah.

Dia berkata, anak perempuannya itu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terakhir di Hospital Gua Musang (HGM) pada 1 Ogos ini.

“Apapun, kami sebagai ibu bapa berpegang kepada janji peraih getah itu kebenaran tinggal bersama apabila mencapai umur 16 tahun,” katanya.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Suami pengantin cilik didenda

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:16 PM