Mohd Azam Shah Yaacob


SEBANYAK 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion dibekukan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pasukan Petugas Khas 1MDB menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, pembekuan akaun bank dilakukan pada 26 dan 29 Jun lalu itu membabitkan akaun milik individu, parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 syarikat yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

“Akaun yang dibekukan dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB membabitkan kira-kira 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 hingga September 2015.

“Buat masa ini, pasukan Petugas Khas 1MDB sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tahap pembabitan pihak terbabit dalam menyeleweng dana syarikat pelaburan strategik kerajaan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit dan berikutan itu, pihak yang disiasat diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.

“Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara sebagaimana lazimnya dilakukan, dan oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 5:57 PM