Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini mengesahkan pegawai daripada Pasukan Petugas Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat pembangunan strategik kerajaan itu, datang ke pejabatnya hari ini.

"Kami menyerahkan kepada mereka beberapa dokumen dan bahan berkaitan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan sekarang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

1MDB berkata ia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pasukan Petugas Khas itu dan semua pihak berkuasa undang-undang.

"Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan, tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang negara," kata syarikat itu.

Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat dakwaan itu.

Antara lainnya, pasukan itu mengarahkan enam akaun bank individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu dibekukan. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 3:53 PM