Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN pesara tentera untuk menyeludup 65 ekor tenggiling seberat 300 kilogram bernilai RM75,000 ke negara jiran gagal apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), hari ini.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, lelaki, 57, itu ditahan ketika melalui sekatan AKSEM di Kilometer 1.1 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Thailand di Bukit Kayu Hitam pada jam 10 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kereta dipandu lelaki itu menemui sejumlah guni biru mengandungi pelbagai saiz tenggiling masih hidup yang ditutup dengan lapisan kanvas plastik di ruang tayar simpanan dalam but belakang kereta terbabit.

“Ketika ditahan, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan mengaku membawa tenggiling terbabit yang diperolehi dari individu di kawasan Jitra untuk diseludup ke Thailand.

“Hasil siasatan mendapati, lelaki yang menetap di Kuala Nerang mendakwa keretanya sebelum itu dipandu individu lain ke satu kawasan untuk mengisi guni mengandungi tenggiling berkenaan sebelum menyerahkan semula kepadanya untuk dibawa ke Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mohd Khairi berkata, lelaki itu mendakwa memperoleh upah RM1,800 iaitu RM6 bagi setiap kilogram tenggiling yang dibawanya itu.

“Berdasarkan siasatan, kita percaya suspek sebelum ini pernah melakukan kegiatan menyeludup tenggiling, namun ini kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua tenggiling itu dipercayai sudah ditempah oleh individu berlainan di negara jiran berdasarkan cat yang ditanda pada badan haiwan terbabit.

“Kita percaya tenggiling terbabit mendapat permintaan untuk dijadikan makanan eksotik, selain sisiknya menjadi bahan perubatan yang mampu mencecah harga RM20,000 sekilogram,” katanya.

Katanya, keseluruhan rampasan berjumlah RM95,000 termasuk tenggiling dan kereta milik suspek terbabit yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Semua tenggiling, suspek dan kereta terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 3:16 PM
MOHD Khairi (kanan) dan anggotanya menunjukkan guni biru mengandungi tenggiling yang dirampas daripada seorang lelaki di Bukit Kayu Hitam, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkifli
MOHD Khairi (kanan) dan anggotanya menunjukkan guni biru mengandungi tenggiling yang dirampas daripada seorang lelaki di Bukit Kayu Hitam, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkifli