Tenggiling dan sisik tenggiling yang dirampas. FOTO ihsan AKSEM
Tenggiling dan sisik tenggiling yang dirampas. FOTO ihsan AKSEM
Zuliaty Zulkiffli

LELAKI warga Thailand dicekup Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kerana cuba menyeludup 55 bungkusan tenggiling dan lima bungkusan sisik tenggiling keseluruhannya bernilai RM170,000, di Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 2.30 petang.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latiff Abdul Rahman berkata, pada mulanya pihaknya tidak mengesyaki apa-apa kerana tempat penumpang hadapan dan belakang kereta Toyota Altis dipandu lelaki itu kosong.

"Lelaki itu mulanya menyangka dia akan terlepas daripada cubaan menyeludup itu kerana dengan selamba melalui sekatan.

"Namun pemeriksaan lanjut di bahagian but kereta menemui bungkusan berisi tenggiling dan sisik tenggiling.

"Kita turut menemui anak tenggiling yang dibungkus bersama ibunya dalam satu daripada bungkusan itu dan percaya bilangan tenggiling itu melebihi 55 ekor," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tenggiling itu dipercayai diseludup dari Indonesia tetapi ditransit di Kedah sebelum diseludup ke Thailand.

"Permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik itu menyebabkan lelaki itu sanggup datang ke negara ini untuk mengambil bekalan.

"Bungkusan berisi kulit tenggiling itu seberat lima kilogram setiap satu dengan anggaran nilai keseluruhan RM100,000 manakala tenggiling hidup RM75,000.

"Kes diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:51 AM