ABD LATIF menunjukkan benih kerang yang cuba diseludup ke Thailand, petang semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ABD LATIF menunjukkan benih kerang yang cuba diseludup ke Thailand, petang semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas 45 guni benih kerang bernilai RM45,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand, petang semalam.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya menahan pemandu kenderaan pelbagai guna Naza Ria iaitu lelaki berusia 45 tahun di Kilometer 5.5 Lebuhraya Utara Selatan dari Changlun menghala ke Thailand jam 6.55 petang untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui timbunan guni berisi benih kerang bersaiz kecil yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan ditutup dengan plastik serta kain hitam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan menemui benih kerang itu dan ia kelihatan seolah-olah pasir kerana bersaiz kecil malah ia lebih berkualiti tinggi berbanding saiz besar.

"Kita percaya sindiket ini berhenti di beberapa transit di sekitar kawasan ini untuk mengaburi pihak berkuasa dan mencari ruang yang sesuai untuk menyeludup masuk ke Thailand," katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Abd Latif berkata, barang rampasan termasuk suspek akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Dan Kultur Kerang) 2002, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 1:53 PM