BUNGKUSAN yang mengandungi kayu gaharu yang dirampas. FOTO ihsan AKSEM
BUNGKUSAN yang mengandungi kayu gaharu yang dirampas. FOTO ihsan AKSEM
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Lelaki tempatan ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) kerana menyeludup 14 kilogram (kg) disyaki kayu gaharu bernilai lebih RM100,000 masuk ke negara ini, hari ini.

Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan bersama pasangannya yang juga wanita warga Vietnam berusia 22 tahun ketika melalui sekatan pemeriksaan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Bukit Kayu Hitam ke Changlun.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, kayu gaharu itu ditemui di bahagian belakang kereta yang dipandu lelaki terbabit pada 3.15 petang.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari Thailand untuk pulang ke negara ini dan berhenti di sekatan AKSEM untuk pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan menemui bungkusan yang mengandungi kayu disyaki gaharu di dalam bonet kereta.

"Kayu berkualiti tinggi itu dipercayai digunakan untuk membuat minyak wangi dan dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kes dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Changlun untuk siasatan lanjut dan kayu itu dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abd Latif berkata, pihaknya menjalankan tugas untuk mengelak berlakunya sebarang kegiatan penyeludupan terutama ketika hujung tahun ini yang mana individu tertentu cuba mengambil kesempatan untuk melakukan penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 9:18 PM