Mahaizura Abd Malik


MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru, semalam membenarkan tuntutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.9 juta terhadap L&A Packaging Sdn Bhd berikutan pengusikan pepasangan meter elektrik.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ivan Hussein membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan dengan kos sebanyak RM30,000.

Tuntutan itu berdasarkan usikan bermula antara 1 Januari 2011 hingga 21 November 2013.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan berlaku pengusikan pepasangan meter merekodkan bacaan penggunaan elektrik di kilang plastik terbabit yang terletak di Jalan Temenggong, Johor Bahru.

Jenis pengusikan dikesan ialah alat ubah arus meter tidak digunakan, sebaliknya alat ubah arus perlindungan digunakan untuk sambungan ke meter.

Sepanjang perbicaraan, TNB diwakili peguam Izatunlina Jamaludin dari Tetuan Othman Hashim & Co yang mengemukakan writ saman pada 4 Julai tahun lalu.

Defendan pula diwakili peguam Abd Rahim Ali dari Tetuan Rahim, Aidil & Partners.

TNB memanggil sembilan saksi manakala defendan mengemukakan dua saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung pada 15 Januari serta 6 dan 7 Mac lalu.

Sepanjang April lalu, TNB turut memenangi tuntutan kes sama membabitkan RM1.3 juta ke atas empat syarikat yang dibicarakan berasingan di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Batu Pahat, Butterworth dan Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:16 PM