Mahaizura Abd Malik


MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan tuntutan kos kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM99,431.83 terhadap pemilik bangunan rumah kedai yang didakwa melakukan pengusikan pada meter elektrik di premis berkenaan, tiga tahun lalu.

Majistret Nadia Mohd Kamal membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan Lim Koon Sing dengan faedah lima peratus setahun serta kos mengikut skala.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat dua kesan usikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB membuat pemeriksaan ke premis di Desa Aman Puri, Kepong pada Mac 2014.

Jenis pengusikan yang dikesan ialah ketiadaan sil terminal meter dan pendawaian wayar masuk dan keluar bagi fasa merah diterbalikkan di terminal meter.

TNB diwakili peguam Mohd Nur Farhan Abd Rahim dan Azriq Ezanie Satar Aznee dari Tetuan Mohamed Noor, Amran & Yoon (Jalan Gombak) yang mengemukakan writ saman pada 9 Disember 2016.

Sementara itu, defendan diwakili peguam Kam Booi Keong dari Tetuan Yunus Ali & Kam (Kota Kemuning) melalui perbicaraan penuh kes berkenaan selama tiga hari pada 20 Julai serta 17 dan 18 Ogos lalu.

Sepanjang perbicaraan, TNB mengemukakan empat saksi manakala defendan tiga saksi.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, TNB turut memenangi empat kes tuntutan sama membabitkan jumlah kerugian hasil sebanyak RM260,614.81 bagi tempoh bulan ini saja.

Semua kes berkenaan dibicarakan di mahkamah majistret berasingan di Johor Bahru, Kluang dan Segamat, Johor serta Seri Manjung, Manjung, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 7:20 PM