GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


MAHKAMAH Sesyen Butterworth, Jumaat lalu, membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM308,783.08 terhadap Premier Forefront Sdn Bhd berikutan pengusikan pepasangan meter elektrik di kilang berkenaan.

Hakim Datuk Julie Lack membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan dengan kos mengikut skala dan mahkamah turut menolak tuntutan balas defendan dengan kos untuk ditaksirkan.

Keputusan itu dibuat selepas hakim bersetuju dengan hujahan peguamcara plaintif dan memutuskan plaintif berjaya membuktikan tuntutan di atas imbangan kebarangkalian.

Tuntutan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (3) dan (5) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan berlaku pengusikan pepasangan meter merekodkan bacaan penggunaan elektrik di kilang plastik terbabit yang terletak di Kawasan Industri Ringan PTMG Tinggi, Bukit Mertajam.

Pemeriksaan mendapati wayar asing digunakan untuk membuat pintasan pada litar arus pendua bagi fasa merah, kuning dan biru di terminal alat ubah arus.

Sepanjang perbicaraan, TNB diwakili peguam Ong Wee En dan Sarah Hani Rohizam dari Tetuan Lim Huck Aik & Co yang mengemukakan writ saman pada 8 November 2016.

Defendan pula diwakili peguam How Chee Hong dan Steven dari Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.

TNB memanggil tiga saksi, manakala defendan mengemukakan dua saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung selama lima hari dari 2 November 2017 hingga 30 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 12:58 PM