ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pembersihan surau berkenaan. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pembersihan surau berkenaan. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


HUJAN lebat kira-kira satu jam menyebabkan Surau Rumbia di Jalan Damansara, Kampung Penchala, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.09 malam.

“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati air hujan setinggi lebih satu meter bertakung di dalam surau berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya menjalankan operasi menyedut air yang bertakung di dalam surau berkenaan dengan menggunakan pam.

“Hujan lebat pada 7 malam tadi menyebabkan surau berkenaan dinaiki air.

“Sebaik selesai menyedut air banjir terbabit, kami melakukan kerja-kerja pembersihan surau berkenaan sebelum operasi tamat pada 11.40 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 1:00 AM