ZAINUN (kiri) menemani membantu tiga cucunya (dari kanan) Nur Sofia Balqis Sabri, 12, Muhammad Rafi Shahmi, 7, dan Muhammad Adib Adam, 10, menyiapkan kerja sekolah di Pusat Perpindahan Banjir di Dewan Sivik,  Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
ZAINUN (kiri) menemani membantu tiga cucunya (dari kanan) Nur Sofia Balqis Sabri, 12, Muhammad Rafi Shahmi, 7, dan Muhammad Adib Adam, 10, menyiapkan kerja sekolah di Pusat Perpindahan Banjir di Dewan Sivik, Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“SETIAP tahun makcik dan tiga cucu akan berpindah kerana rumah dinaiki air. Makcik pohon kerajaan binalah longkang bagi mengatasi masalah banjir ini,” kata Zainun Abu Bakar, 66.

Dia adalah antara 42 mangsa banjir di Kampung Temiang dan Kubang Putat, Seberang Pintasan, Dungun yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Pusat Sivik Seberang Pintasan, awal pagi hari ini.

Zainun berkata, hujan sejak petang semalam menyebabkan persekitaran rumahnya yang rendah itu dinaiki air.

“Hujan berterusan menyebabkan bahagian dapur dinaiki air hingga 0.5 meter.

“Semua barangan seperti peti ais dan mesin basuh memang diletakkan di bahagian atas rumah kerana saya bersama tiga cucu berusia tujuh hingga 12 tahun tidak mampu mengangkat barangan itu ketika banjir,” katanya.

Beliau berkata, bimbangkan keselamatan mereka, dia membawa tiga cucunya itu berpindah ke pusat pemindahan berkenaan pada 1 pagi.

Seorang lagi mangsa banjir, Rosmalaini Mohd Yusof, 36, berkata keadaan longkang dipenuhi rumput dipercayai menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna.

Katanya, sepanjang lima tahun menyewa rumah di Kampung Kubang Putat itu beliau mengalami kerugian lebih RM5,000.

“Setiap tahun banjir akan berlaku kerana penempatan kami di sini rendah dan air akan bertakung apabila hujan lebat.

“Tambahan pula, ramai penduduk sekitar yang menambun tanah untuk membina rumah baru di kawasan sekitar dan ia turut menyebabkan rumah kami semakin ditakungi air,” katanya.

Beliau berkata, sebagai mengatasi masalah itu, kerajaan diminta membina longkang baru kerana walaupun sudah ada longkang monsun di kawasan itu, ia dipenuhi rumput yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna.

“Saya berharap longkang monsun itu dapat diselenggara Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dua kali setahun bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Osman Bakar, berkata setakat ini seramai 42 penduduk daripada 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada JPS mengenai masalah pengaliran air longkang tidak lancar menyebabkan punca banjir dan kerja pembersihan perlu segera dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 4:29 PM