PENDUDUK, Zulkifli Mohd Yunus, 60, dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) membersihkan lumpur dibahagian dapur rumahnya selepas kejadian banjir Ahad lalu di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai. FOTO Syamsi Suhaimi
PENDUDUK, Zulkifli Mohd Yunus, 60, dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) membersihkan lumpur dibahagian dapur rumahnya selepas kejadian banjir Ahad lalu di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


“SAYA hanya mampu melaungkan Allahuakbar selepas tergamam melihat fenomena kepala air menyerang kampung secara tiba-tiba,” kata penduduk Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Mek Som Awang Noh.

Mek Som, 60, mengulas mengenai kejadian arus deras di kampung berkenaan selepas hujan lebat selama beberapa hari.

Mek Som berkata, sebelum kejadian, dia baru pulang daripada menoreh getah kira-kira 12 tengah hari.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barang serta dokumen penting yang berada di dalam rumah. Suami saya, Saari Yaakob, 65, yang pada awalnya sudah berasa tidak sedap hati mula meninggalkan pekarangan rumah dan berlindung di surau berdekatan.

“Tragedi bah kuning yang berlaku pada 2014 tidaklah seteruk ini.

“Bagaimanapun, saya sedikit kesal dengan segelintir individu yang menafikan video yang tular baru-baru ini adalah kejadian banjir besar yang berlaku lima tahun lalu sedangkan ia video benar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp menunjukkan keadaan arus deras di kampung berkenaan dan meminta orang ramai mendoakan keselamatan penduduk kampung berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mohd Yunus, 60, berkata, selama lebih 30 tahun tinggal di kampung itu, ia adalah kejadian pertama yang paling tragis berlaku sehingga terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

“Hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan kami sekeluarga tidak lena tidur dan melihat keadaan yang semakin serius, saya serta beberapa penduduk mula mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi serta selamat.

“Ketika kejadian, saya, isteri dan empat orang anak sedang berada di ruang tamu dan apabila menjenguk keadaan di luar, saya terkejut melihat paras air naik begitu mendadak sehingga hampir mencecah lantai rumah sebelum menyelamatkan diri di surau berhampiran.

“Disebabkan kejadian ini, ruang tamu diselaputi lumpur setinggi 0.5 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 3:58 PM