Zatul Iffah Zolkiply

ENGGAN menerima hakikat hubungan cinta mereka putus di tengah jalan, seorang lelaki bertindak mengugut mahu menikam bekas kekasihnya di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Kejadian dipercayai berlaku jam 5.25 petang, Isnin lalu, apabila mangsa berusia 19 tahun yang berada di rumahnya menerima mesej ugutan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata suspek menghantar mesej itu mengugut akan menikam mangsa dan turut menghantar gambar pisau beberapa jam kemudian.

“Dalam mesej yang dihantar itu, suspek memaklumkan jika dia tidak boleh bersama mangsa, orang lain juga tidak boleh bersamanya, sambil mengatakan dia sanggup mati bersama-sama mangsa.

“Mangsa juga memaklumkan sehari sebelum kejadian itu, suspek ada menghantar mesej mahu menikam mangsa, namun dia tidak mengendahkannya kerana menyangka suspek hanya bergurau,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun membuat keputusan untuk melaporkan kepada polis berhubung mesej ugutan itu demi keselamatannya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak dan susulan laporan, suspek berusia 24 tahun ditahan di rumahnya di Marang, kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 3:03 PM