Jertih: Seorang wanita terkejut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang mengugut untuk menikam dan menyembelihnya selepas berlaku perselisihan faham dalam kejadian di Kampung Tandak, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, suspek berusia 20-an turut mengugut mahu menikam dan menyembelih anak mangsa selepas dikatakan berselisih faham dengan isterinya berusia 27 tahun.

Menurut sumber, mangsa yang sedang berehat di rumah mereka menerima SMS daripada suaminya kerana menyangka ada sesuatu yang ingin dibincangkan.

“Sebaik membaca SMS kiriman suaminya, mangsa yang tidak bekerja terkejut kerana suspek mengugut mahu menikam mangsa dan anak mereka dengan pisau.

“Mulanya mangsa tidak mengendahkan ugutan suspek kerana menyangka suaminya itu bertindak sedemikian bagi melepaskan marah kerana mereka ada berselisih faham sebelum itu.

“Bagaimanapun, mangsa sekali lagi menerima SMS ugutan daripada suspek yang mahu menyembelih tengkuk anak mereka dan menyembelih mangsa sendiri,” kata sumber itu.

Selepas menerima dua SMS ugutan, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Jertih kerana bimbang keselamatan diri dan anaknya memandangkan suspek adalah penagih dadah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Noor Halim Nordin yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Ke seks5aan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:49 AM