GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Agensi

Bangkok: Tidak tahan diugut tukang tilik palsu yang mahu menyebarkan gambar bogel anak, pasangan suami isteri di Thailand terpaksa mendapatkan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Portal Thaiger melaporkan, suami isteri itu menghubungi Presiden Yayasan Pavena, Pavena Hongsakun bagi membantu mereka menghentikan ugutan daripada tukang tilik yang dikenali sejak tiga tahun lalu itu.

Pavena kemudian merujuk kes itu kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Thai, Surachate 'Big Joke' Hakparn.

Menurut laporan, penipuan itu bermula ketika mangsa berusia lapan tahun berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai tukang tilik di Instagram (IG).

Suspek mendakwa dia boleh meramalkan kerjaya masa depan mangsa tetapi memerlukan gambar bogel untuk memberikan bacaan terperinci.

Pada mulanya, gadis itu tidak percaya dan meminta suspek menghantar gambar wajahnya untuk mengesahkan identitinya.

Bagaimanapun, suspek menghantar gambar bogel gadis remaja lain untuk meyakinkan mangsa bahawa orang lain turut menggunakan khidmat ramalannya.

Gadis itu akhirnya percaya ia selamat kerana yakin tukang tilik terbabit adalah seorang wanita kemudian menghantar gambar bogelnya kepada wanita berkenaan.

Suspek juga meminta gambar kad pengenalannya, menyatakan ia perlu untuk ramalannya.

Anehnya, dia memberi ramalan yang sangat singkat mengatakan gadis itu akan menjadi seorang doktor seperti yang diimpikan dan kemudian menghilang.

Pada 3 September lalu, akaun Facebook (Fb) aneh menghantar gambar bogel dan gambar kad pengenalan kepada gadis itu melalui kiriman mesej.

Akaun itu mengancamnya untuk menghantar lebih banyak gambar bogel dan mengugut untuk menyebarkannya jika tidak memberikan apa yang dimahukan.

Mangsa mengadu mengenai perkara itu kepada ibu bapanya, yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Bangkok Yai.

Ketika siasatan, suspek menghantar mesej lain meminta lebih banyak bogel pada 11 Januari tetapi mangsa tidak mengendahkannya.

Akibatnya, gambar mangsa dihantar kepada rakan sekelasnya dengan mesej yang melabelnya sebagai pelacur pada 9 Februari lalu.

Big Joke memberitahu Channel 3 bahawa kes itu melanggar Akta Kanak-kanak dan Akta Komputer kerana membabitkan pengimportan serta penyebaran pornografi kanak-kanak dalam talian.

Beliau juga menjelaskan jumlah kes penderaan seksual kanak-kanak di Thailand meningkat, terutamanya antara 2020 dan 2023 dengan lebih dua juta kes dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 12:12 PM