Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norizuan Shamsuddin


ANAK derhaka! Itu yang layak digelar apabila seorang anak sanggup memukul dan mengugut untuk membunuh ibunya dengan menggunakan tukul dalam kejadian di Kampung Apit, Ajil di Kuala Berang pada Rabu lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 65 tahun berada di kediamannya bersama anak lelakinya itu pada 2.30 petang.

“Secara tiba-tiba anak lelakinya yang berusia 32 tahun itu mengamuk disebabkan masalah telefon pintarnya dan wanita warga emas terbabit cuba keluar dari rumah kerana bimbang keselamatannya.

“Namun, sebaik sampai di depan pintu anak lelakinya menjerit memanggil wanita terbabit dan meminta mangsa untuk membaca mesej yang tertera pada telefonnya itu.

“Bagaimanapun, wanita terbabit mengalami masalah rabun memaklumkan dia tidak nampak untuk membaca mesej itu,” katanya.

Menurutnya, jawapan itu menyebabkan anaknya berang sebelum menolak mangsa dengan kuat hingga menyebabkannya jatuh tersungkur ke lantai.

“Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengambil tukul dan mengacukan ke arah wanita berkenaan.

“Anak lelakinya turut mengugut untuk memukul dan membunuh wanita berkenaan dan ahli keluarga yang lain.

“Bagaimanapun, wanita terbabit segera lari dari rumahnya bagi menyelamatkan diri dan susulan kejadian mangsa membuat laporan di Balai Polis Ajil pada hari sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya sudah menahan suspek.

“Pihak polis turut merampas tukul dipercayai digunakan suspek sewaktu kejadian.

“Kini lelaki itu direman selama empat hari sehingga esok (Ahad) untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 akta sama kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 7:06 PM