FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Farhani Che Ad


PENGANGGUR ditahan selepas mengugut menikam ibunya menggunakan gunting disebabkan tidak diberikan wang di Kampung Sungai Tengas Terap Serdang, di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditangkap kira-kira dua jam selepas kejadian di rumah mereka susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

“Dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam itu, suspek dikatakan mengamuk di rumah terbabit selepas mangsa enggan memberikan wang kepadanya.

“Suspek bertindak mengugut untuk menikam mangsa dengan menggunakan gunting yang dipegangnya ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusof berkata, suspek turut merosakkan harta benda yang terdapat di rumah itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 9:14 AM