KERETA mangsa yang dirosakkan suspek berhampiran Bulatan Segambut, semalam. Gambar kanan, beberapa penunggang motosikal memujuk suspek supaya berhenti merosakkan kenderaan mangsa.  FOTO NSTP
KERETA mangsa yang dirosakkan suspek berhampiran Bulatan Segambut, semalam. Gambar kanan, beberapa penunggang motosikal memujuk suspek supaya berhenti merosakkan kenderaan mangsa. FOTO NSTP
Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ‘naik hantu’ dan bertindak menikam bonet serta memecahkan cermin sebuah kereta Proton Persona di Bulatan Segambut, menghala ke ibu kota di sini, berikutan berang terhadap cara pemanduan pemilik kenderaan itu.

Dalam kejadian 7.20 malam kelmarin, suspek turut mengarahkan pemandu kereta Proton Persona itu supaya keluar dari kenderaan namun sempat diredakan beberapa pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, lelaki itu bagaimanapun ditahan di Balai Polis Sentul sejurus tampil membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila seorang lelaki berusia 19 tahun yang memandu kereta Proton Persona ditahan seorang lelaki memandu kenderaan model Perodua Axia di Bulatan Segambut.

“Suspek mendakwa mangsa memandu dengan cara tidak betul. Suspek berang sebelum menikam bonet kereta mangsa menggunakan pisau, membaling batu pada cermin selain memecahkan cermin kenderaan menggunakan alat penginjak kereta (jack),” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak keluar dari kenderaan kerana bimbangkan keselamatannya.

“Beberapa pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal berhenti dan meminta suspek supaya berhenti daripada meneruskan tindakannya merosakkan kenderaan mangsa.

“Kejadian turut dirakam pemandu lain ketika kejadian. Selepas kejadian itu, seorang lelaki berusia 30 tahun tampil di Balai Polis Sentul untuk membuat laporan namun pihak kami menahannya untuk membantu siasatan.

“Ini kes buli jalan raya. Pihak kami meneruskan siasatan mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 9:20 AM