Tan Sri Lee Lam Thye. FOTO NSTP
Tan Sri Lee Lam Thye. FOTO NSTP
Herizal Amriz Hismat Alang


AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan gaji asas menteri sebanyak 10 peratus selepas keputusan dibuat melalui Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Lee dalam kenyataan media berkata, pemotongan gaji asas keputusan yang tepat sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan serta memperbaiki keadaan kewangan negara.

“Keputusan yang dibuat oleh Kabinet Malaysia untuk memotong gaji semua menteri sebanyak 10 peratus daripada gaji asas sangat dialu-alukan kerana ia menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat yang mana rakyat meletakkan harapan yang tinggi pada menteri.

“Potongan gaji juga sangat kena pada masanya kerana kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan serta membantu kewangan negara,” katanya

Biarpun menyambut baik usaha berkenaan, Lee turut menggesa kerajaan agar tidak melaksanakan pemotongan gaji kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah di samping itu mengambil kira nasib pekerja daripada agensi yang akan dibubar.

“Bagaimanapun, saya berharap pemotongan gaji tidak akan dilakukan kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah kerana ia akan menjejaskan mata pencarian mereka.

“Sementara itu saya harap kerajaan akan mengambil kira nasib kakitangan daripada agensi yang akan dibubar dengan menyerap mereka ke jabatan atau agensi yang lain,” katanya

Selain dari pemotongan gaji, Lee turut menyambut baik keputusan pembubaran beberapa agensi yang tidak penting iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Saya menyokong tindakan kerajaan untuk meletakkan SPAD di bawah Kementerian Pengangkutan kerana ia adalah agensi yang berkaitan dengan pengangkutan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:15 PM