PEMANGKU Pengerusi Suruhanjaya pengakutan awam darat (SPAD), Tan Sri Isa Abdul Samad. FOTO Hazreen Mohamad
PEMANGKU Pengerusi Suruhanjaya pengakutan awam darat (SPAD), Tan Sri Isa Abdul Samad. FOTO Hazreen Mohamad
Rizanizam Abdul Hamid


SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akur dan menghormati keputusan kerajaan memansuhkan agensi itu seperti diputuskan dalam mesyuarat pertama Kabinet hari ini.

Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, sebagai rakyat masyarakat harus menerima setiap keputusan dibuat kerajaan yang pastinya telah melalui proses kajian mendalam.

“Kalau kerajaan dah buat keputusan itu, tentu mereka dah kaji semua apa keputusan itu dibuat, jadi kita hormati keputusan kerajaan.

“Kita pun pernah jadi kerajaan dulu, kita kena hormatlah tentu ada sebab-sebab munasabah. Bagi saya, tak ada masalah dan saya setuju sahaja,” katanya ketika dihubungi wartawan NSTP di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) berterima kasih di atas keprihatian kerajaan menghapuskan SPAD yang dilihat dapat mengelak pertindihan kuasa dan mengurangkan saiz agensi kerajaan.

Timbalan Pengerusinya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, SPAD wajar tidak dikekalkan kerana seluruh seluruh pemain industri termasuk pemandu, pengusaha bas dan teksi serta lori telah hilang kepercayaan terhadap suruhanjaya berkenaan.

“Kami tidak memerlukan SPAD untuk menguruskan industri kami, kerana kami yakin agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Kementerian Pengangkutan mempunyai kewibawaan untuk mengalas tanggungjawab berkenaan.

“Kewujudan SPAD telah banyak merosakkan dan menghancurkan industri teksi negara dan ia hanyalah sebuah suruhanjaya yang diwujudkan kerajaan terdahulu bagi memberi tempat kepada menteri-menteri yang telah bersara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:50 PM