Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi mempengerusikan taklimat pembangunan Perlis dalam lawatan singkatnya di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli (dua, kiri). FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi mempengerusikan taklimat pembangunan Perlis dalam lawatan singkatnya di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli (dua, kiri). FOTO BERNAMA
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya mengumumkan bantuan Aidilfitri kepada kakitangan masing-masing.

Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri selepas kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM250 untuk pesara serta veteran.

"Kalau dah beri (bantuan) okay, kadang-kadang masuk skim (gaji), kalau yang belum, berilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah kelolaan kita secara keseluruhan.

"Ini supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Berita lanjut menyusul

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Perdana Menteri semalam mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Malah, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Anwar berkata, institusi perbankan juga disarankan mengambil pertimbangan sama dengan menyalurkan bantuan kepada kakitangan mereka.

"Ini termasuk bank-bank, boleh beri pertimbangan (salurkan bantuan Aidilfitri) dan gesaan kalau boleh. (Mereka gred) atas tak boleh, kita bantu tapi (untuk kakitangan di gred) tengah dan bawah.

"Belajar daripada keputusan kita. (Bantuan kepada gred) 56 ke bawah. Ini maknanya kita bantu tapi kita juga tahu bahawa bantuan itu lebih kepada pegawai peringkat tengah dan bawah," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui keputusan menyalurkan BKK Aidilfitri kepada penjawat awam adalah tepat pada masanya.

Jelasnya, ini kerana masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup terutama bagi menyambut Aidilfitri.

"Malam kelmarin, saya fikir (mengenai BKK) dan nak tidur pun terganggu. Jadi, saya fikir bagi sikit, kurang-kurangnya meredakan sikit (beban) dan kerja pun bersemangat.

"Harap kita (dapat) berbelanja dengan cermat dan berhemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 12:22 PM