MAHATHIR (tiga kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (empat kanan) dan menteri-menteri Kabinet. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MAHATHIR (tiga kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (empat kanan) dan menteri-menteri Kabinet. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Azura Abas; Manirajan Ramasamy; Mohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail


SENARAI penuh barisan Kabinet kemungkinan diumum pada minggu depan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sepatutnya senarai penuh menteri Kabinet diumum minggu ini, tapi kemungkinan dianjak pemgumuman kepada minggu depan.

"Kita akan ambil kira semua pandangan dan tunggu sekejap... kami akan beritahu 26, 27, 28 atau 500 orang," katanya yang sempat berseloroh pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Selain itu Dr Mahathir berkata, beberapa badan di bawah kementerian tertentu akan dibubar dan diselaraskan bagi mengurangkan kos kerajaan.

"Kebanyakan badan itu membabitkan Kementerian Kesihatan.

"Selain itu kita bincang tentang pertindihan kuasa antara kementerian.

Oleh kerana kita telah susun semula kementerian, ada beberapa pertindihan dan ini akan kita selesaikan setelah kita buat bandingan antara kementerian-kementerian," katanya.

Perdana Menteri berkata, fungsi institut latihan kemahiran di bawah pelbagai kementerian akan diselaras bagi mengelak pembaziran dan memaksimumkan latihan.

"Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan memorandum Jemaah Menteri mengenai penyelarasan semula fungsi institut latihan kemahiran di bawah pelbagai kementerian bagi mengelak pembaziran dan pada masa sama maksimumkan usaha beri latihan kepada golongan muda," katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula kurikulum pendidikan daripada peringkat taska sehingga universiti termasuk melihat kurikulum negara lain termasuk membabitkan pelajaran kesedaran sivik.

Berhubung Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah dimansuhkan, Dr Mahathir berkata, kabinet memutuskan fungsi suruhanjaya itu akan diambil alih oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Agensi itu akan melaksanakan fungsi-fungsi, dasar dan pembangunan pengangkutan awam darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 7:07 PM