BARJOYAI. FOTO Arkib NSTP
BARJOYAI. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan

KERAJAAN dijangka mampu menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun susulan pengumuman pembubaran empat badan dan agensi kerajaan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Empat badan dan agensi yang dibubarkan adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

Pembubaran membabitkan hampir 3,000 kakitangan itu, dijangka mampu menjimatkan kos pengurusan kerajaan, khususnya membabitkan penggajian dan kos operasi dalam perbelanjaan tahunan negara.

Daripada jumlah itu, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, memiliki 272 kakitangan, dengan 127 daripadanya berstatus lantikan kontrak.

SPAD pula dianggarkan membabitkan kira-kira 1,000 kakitangan, manakala JKKP seramai 1,677 orang di tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

MPN pula memiliki hampir 2,500 Profesor serta 4,000 Profesor Madya, namun tidak menerima sebarang imbuhan, sebaliknya penggajian hanya membabitkan kira-kira 30 sekretariat dan beberapa pimpinan tertinggi.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan mampu menjimatkan sekitar RM200 juta setahun bagi pembayaran gaji serta kira-kira RM300 juta setahun bagi penjimatan pentadbiran melalui pembubaran yang diumumkan itu.

Katanya, ia turut disumbangkan melalui potongan gaji sebanyak 10 peratus bagi menteri dan timbalan menteri, dengan anggaran penjimatan kira-kira RM3 juta setahun.

"Berdasarkan Bajet 2018, kira-kira RM280 bilion diperuntukkan dengan 60 peratus adalah bagi perbelanjaan mengurus.

"Penjimatan daripada pembubaran itu mampu mengurangkan sebanyak dua peratus perbelanjaan mengurus negara, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pembangunan.

"Walaupun jumlahnya tidak banyak, tetapi ia satu langkah baik, selain memberikan satu rangsangan bahawa negara sedang berusaha membuat penjimatan, dengan menteri Kabinet mendahului dengan mengorbankan gaji mereka," katanya ketika dihubungi.

Dr Mahathir mengumumkan pembubaran JASA, MPN, SPAD dan JKKP, selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, MPN, JASA dan JKKP dibubarkan kerana wujud unsur politik, manakala SPAD akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.

Pada November tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu menjadi Ketua Pembangkang, mempersoalkan mengapa Ketua Pengarah JASA menerima gaji dengan kod VU7 yang memiliki skala maksimum sehingga RM20,592, selain emolumen berjumlah RM12.8 juta kepada 272 kakitangan JASA.

Barjoyai berkata, penjimatan pembayaran gaji mungkin tidak menjadi keutamaan kerajaan memandangkan Dr Mahathir ada menyatakan tidak akan mengecilkan jumlah penjawat awam, sebaliknya dipindahkan mengikut kesesuaian.

"Pemansuhan institusi ini bukan semata-mata untuk menjimatkan kos pengurusan, tetapi juga mengurangkan birokrasi, duplikasi tugas serta mempercepatkan proses membuat keputusan," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan beberapa badan lain bakal dibubarkan, Barjoyai mengakui wujud lebihan kakitangan di beberapa kementerian yang dapat dikurangkan menerusi pengaplikasian teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 6:43 PM