Siraj Mohd Zaini


SUAMI penyanyi popular, Ziana Zain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan pindaan kerana menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelakinya pada 24 Februari lalu.

Tertuduh, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Armin didakwa dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara 8 malam hingga 10.30 malam, pada 24 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, Armin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

ARMIN Zaharin Ahmad Zambri hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendengar perbicaraan kes keseksaan kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan rotan yang didakwa dilakukan di rumahnya di Denai Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
ARMIN Zaharin Ahmad Zambri hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendengar perbicaraan kes keseksaan kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan rotan yang didakwa dilakukan di rumahnya di Denai Alam. FOTO Roslin Mat Tahir

Pada 8 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kes berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh diwakili peguam Nurul Fadzlinda Ibrahim dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Turut hadir ketika prosiding berkenaan, peguam pemerhati yang dilantik Ziana, Luqman Mazlan.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 28 Mei ini bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:20 PM