KEADAAN deretan bangunan rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Pasar Beluru, Bakong, Miri, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN deretan bangunan rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Pasar Beluru, Bakong, Miri, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Rizal Abdullah


SEMBILAN bangunan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Pasar Beluru, Bakong, Miri, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, deretan kedai berusia lebih 20 tahun itu musnah sepenuhnya, namun tidak membabitkan mangsa kerana mereka sempat menyelamatkan diri.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.52 tengah malam berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak memusnahkan deretan kedai berkenaan memandangkan sebahagian besar struktur premis dibina menggunakan kayu.

“Anggota bomba kemudian membuat operasi pemadaman selain memastikan tiada mangsa yang terbabit. Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.50 pagi.

“Kebakaran cepat merebak berikutan struktur rumah kedai berkenaan diperbuat daripada kayu selain faktor angin,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 5:13 PM