Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Santai Mesra Bersama Menteri Besar Selangor di Gelanggang Kelab Buluh Perindu.Com Kampung Telok Gong, Klang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Santai Mesra Bersama Menteri Besar Selangor di Gelanggang Kelab Buluh Perindu.Com Kampung Telok Gong, Klang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Ruwaida Md Zain

PARTI yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang disifatkan sebagai pengacau undi.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hanya BN dan pakatan pembangkang sahaja yang serius bertanding dalam PRU-14.

“Dalam kertas undi mudah sahaja, ada dua parti yang serius sebenarnya satu BN. Dia guna dacing sudah senget, sudah terbalik. Satu lagi Pakatan Harapan, guna lambang PKR, logo mata.

“Kalau ada yang lain masuk jangan bimbang, itu pengacau sahaja. Dia nak kacau sahaja, mana boleh? Cukuplah.

“Kuasa dalam tangan kita. Kita nak pilih bukan kerana dia kawan, bukan kerana dia sahabat kita dulu, tidak. Kita hendak pilih sebab wakil dan parti itu boleh bentuk kerajaan. Betul atau tidak?” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Umum di Kampung Telok Gong, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, malam tadi.

Turut hadir, calon Parlimen Klang, Charles Santiago dan calon DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Mohamed Azmin berkata, parti selain dari BN atau pakatan pembangkang tidak perlu bertanding sekiranya tidak mampu membentuk kerajaan.

“Tapi kalau kita tahu dia tidak boleh bentuk kerajaan, yang nak sia-siakan undi buat apa? Duduk diam-diamlah, pergilah kawan dengan Najib tu. Tak payah kacaulah,” katanya.

Dalam ucapan itu, Mohamed Azmin juga berkata beliau akan menjadi Menteri Dalam Negeri sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan selepas 9 Mei ini.

“Saya nak minta satu saja, saya nak jadi Menteri Dalam Negeri saja, jaga Cawangan Khas di belakang sana.

“Pada 9 Mei itu, tutup saja pusat pembuangan undi, saya nak duduk di lapangan terbang sebab ramai yang nak lari.

“Saya nampak saja kelibat seorang itu, memang aku akan tangkap punya. Tambah pula kalau ada seorang perempuan itu, dia tak boleh lari, dia berat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 2:13 AM