PETUGAS memasang bendera parti sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson di Waterfront, Port Dickson. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PETUGAS memasang bendera parti sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson di Waterfront, Port Dickson. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Veena Babulal dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


“Anda mengundi calon Perdana Menteri.”

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melontarkan kata-kata itu bagi mengingatkan pengundi Parlimen Port Dickson mengenai status yang bakal dibawa calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu hari nanti.

Mohamed Azmin yang turun membantu kempen di Kampung Arab di sini malam tadi, antara berkata masyarakat setempat di sini seharusnya memberi sokongan padu kepada Anwar selaku bakal Perdana Menteri.

"Jika peratusan keluar mengundi hanya 40 sehingga 45 peratus, jumlah itu amat kurang memuaskan.

"Kita perlu bekerja keras. Jangan ambil mudah danterlalu berpuas hati," katanya.

Mohamed Azmin berkata, pengundi yang tinggal di Singapura dan Johor Bahru perlu pulang mengundi untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dengan mengundi bakal Perdana Menteri.

"Saya yakin Anwar akan menang di Port Dickson dan kita menjadikannya kemenangan besar dengan majoriti lebih daripada 20,000 undi," katanya.

Azmin berkata, bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, memperoleh majoriti lebih 17,000 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"PRK ini penting dalam membuka jalan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

"Anda perlu memberi peluang kepada Anwar supaya membawa pembaharuan di Port Dickson.

"Jika anda mahu pemimpin yang bersih, berkelayakan, boleh dipercayai dan mempunyai integriti, anda perlu memilih Anwar.

"Dengan mengundi Anwar, anda dapat menolak parti yang politiknya sudah berpecah-belah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 5:18 PM