Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu : Kementerian Pengangkutan Malaysia ( MOT ) memperuntukkan RM2.7 juta bagi melaksanakan Program MyLesen B2 pada tahun ini.

Menerusi program diumumkan dalam Belanjawan 2023, kerajaan menanggung kos bayaran latihan dan ujian bagi lesen B2.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata seramai 9,000 penerima daripada golongan B40 seluruh negara menerima manfaat menerusi program berkenaan.

Katanya, di Negeri Sembilan 756 penerima menerima manfaat menerusi program itu  membabitkan  tujuh daerah di negeri ini manakala seramai 363 penerima adalah dari daerah Jelebu  dengan majoritinya  Orang Asli.

" Kerajaan Perpaduan memahami betapa pentingnya lesen B2 dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi terutama masyarakat di luar bandar.

" Menerusi program ini juga, kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ ) dan institut memandu berkenaan akan datang ke lokasi terpilih berhampiran kediaman untuk memberi kursus, ujian bertulis dan ujian lisan tanpa perlu membuat perjalanan jauh ke institut memandu.

" Seperti di Jelebu ini, jika dari Kampung Chennah ke Seremban, institut memandu berhampiran terletak kira-kira 60 Kilometer, jadi kita mudahkan urusan mereka," katanya pada majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Orang Titi di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MOT Datuk M Jana Santhiran dan Ketua Pengarah JPJ  Rospiagos Taha.

Katanya, program MyLesen komitmen dan usaha kerajaan membantu golongan B40 sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.

Loke berkata inisiatif ini juga melahirkan penunggang motosikal yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan jalan raya.

Sementara itu, bagi Kent Lawrence Junkhen, 48, dari Kampung Chennah berkata dia gembira menerusi program diperkenalkan kerajaan membolehkannya memiliki lesen B2.

" Sejak boleh menunggang motosikal ketika usia remaja tanpa lesen, kini saya teruja apabila tidak perlu lagi takut disaman.

" Sehingga hari ini, biarpun tidak pernah disaman kerana menunggang motosikal tanpa lesen, apabila dimaklumkan mengenai program MyLesen ini, saya terus memohon untuk mendapatkan lesen malah pihak JPJ sendiri datang ke kampung tanpa saya perlu ke Seremban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:45 PM
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyerahkan replika lesen  kepada  penerima  Program MyLesen B2  di Dewan Orang Ramai Titi. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyerahkan replika lesen kepada penerima  Program MyLesen B2  di Dewan Orang Ramai Titi. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP