PENUNGGANG motosikal beratur untuk mengisi petrol pada program Jom Isi Minyak Percuma di stesen minyak Petronas Presint 9, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
PENUNGGANG motosikal beratur untuk mengisi petrol pada program Jom Isi Minyak Percuma di stesen minyak Petronas Presint 9, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Noor Atiqah Sulaiman


PROGRAM Jom Isi Minyak Percuma anjuran Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya bukan ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya ia diadakan bagi meringankan beban rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, ini kerana pihaknya sudah mengadakan program berkenaan sejak awal tahun lalu.

“Kami dah buat program mengisi petrol kepada penunggang motosikal secara percuma ini sudah lama, jadi untuk menuduh ia adalah ‘gula-gula’ sempena PRU14 adalah tidak benar sama sekali.

“Bukan seperti pembangkang, mereka buat program yang sama hanya sekali kemudian hilang, tetapi kami adakan program ini secara konsisten setiap bulan,” katanya ketika ditemui selepas program Jom Isi Minyak Percuma di Presint 9, Putrajaya, hari ini.

Ahmad Faisal berkata, kali ini pihaknya memperuntukkan RM3,000 yang boleh memberi manfaat kepada lebih 300 penunggang motosikal.

“Ketika kali pertama program ini dilaksanakan, kami memperuntukkan RM5 bagi setiap pemilik motosikal berkuasa di bawah 150cc.

“Tetapi ‘ketua kampung’ (Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) sangat prihatin dan mengatakan ia tidak cukup kerana setiap motossikal tidak sama.

“Jadi kali ini tiada had dikenakan asal tangki motosikal mereka penuh,” katanya.

Program berkenaan diadakan pada 5 petang, tetapi tinjauan NSTP mendapati perkarangan stesen minyak Petronas Presint 9 mula dipenuhi oleh orang ramai sejak 4 petang.

Seorang penduduk, Amirul Amin Suhaimi, 18, berkata ini kali pertama dia dapat mengisi petrol secara percuma.

“Sebelum ini saya asyik terlepas setiap kali program ini diadakan, jadi untuk tidak mahu melepaskan peluang saya beratur di stesen minyak ini bermula 4 petang tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 8:07 PM