Tengku Adnan mengisi minyak motosikal secara percuma kepada pengguna kenderaan dua roda itu di Petronas Presint 9, Putrajaya. FOTO  Mohd Fadli Hamzah
Tengku Adnan mengisi minyak motosikal secara percuma kepada pengguna kenderaan dua roda itu di Petronas Presint 9, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Seramai 200 penunggang motosikal tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan minyak petrol percuma sumbangan UMNO Bahagian Putrajaya di Stesen Minyak Petronas Presint 9A di sini, hari ini.

Mengikut jadual program itu bermula pada jam 6 petang, tetapi orang ramai sudah mula beratur 15 minit lebih awal untuk tidak ketinggalan menerima petrol percuma menerusi program yang dilaksanakan dengan kerjasama Petronas Putrajaya.

Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya akan melaksanakan program Jom Isi Minyak dua kali dalam sebulan.

"Program khidmat bakti ini adalah salah satu usaha kami untuk membantu masyarakat sekitar wilayah ini yang dipercayai dapat meringankan beban masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

"Malah, program ini sudah dilaksanakan di Parlimen Wilayah Persekutuan seperti di Bandar Tun Razak, Segambut dan Labuan," katanya ketika ditemui pada program Jom Isi Minyak di Petronas Presint 9A, di sini, hari ini.

Beliau yang Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, agihan minyak percuma itu diberikan sebanyak RM5 kepada semua penunggang motosikal di bawah 150cc.

Sementara itu, seorang penerima minyak percuma, Mohd Zamani Mat Nasir, 29, berkata, usaha yang dilakukan UMNO Bahagian itu adalah usaha yang baik untuk membantu masyarakat terutama dalam keadaan ekonomi ketika ini.

"Saya mewakili penduduk di sekitar Putrajaya berterima kasih kepada penganjur kerana memberi kami peluang untuk mendapatkan minyak percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 8:45 PM